Monday, January 3, 2011

Coretan pembuka 2011

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

3.1.2011

Sesi persekolahan bermula.Hari ini sedikit lewat dek kesesakan jalan raya.Alhamdulillah,selamat juga sampai di sekolah,tempat saya menabur bakti.

7.25 pagi.Masih tidak melangkaui batas waktu.Dengan lafaz basmallah,kad di 'punch' sambil berdoa di dalam hati,moga ikhlas dalam melaksanakan amanah kerjaya.

Awal pagi sudah dikhabarkan dengan berita kurang gembira.Keputusan Sijil Menengah Agama bagi pelajar tingkatan 4 sesi 2010 merundum jatuh.Wajah guru-guru sedikit tidak ceria.Air muka pelajar gundah gulana.Masing-masing mencari di mana silapnya.Hujan gerimis gugur tatkala seorang guru mengumumkan keputusan.Pandai suasana membaca tangis hati kami.Kami akur.Kami reda.Makar Allah lebih indah.Pasti ada hikmahnya.Tahniah kepada pelajar yang berjaya.Yang kurang berjaya,belajarlah dari kesilapan.Jika kita sedar dari kesilapan,pasti Allah kurniaan anugerah yang lebih berharga.InsyaAllah.

Kesibukan hari pertama persekolahan tidak menyedarkan saya pada jangka waktu.Sekejap sungguh ia berlalu.Subhanallah,hari ini luar biasa tenang.Mungkin kerana penangan azam baru yang disemat.Saya tersenyum.Memang sudah berjanji pada diri sendiri mahu lakukan yang lebih baik pada tahun ini.Tahun ini bakal menjanjikan seribu satu cabaran.Seorang guru,warden asrama,pelajar separuh masa dan bakal isteri seorang mujahid.Jadual hidup tahun ini sungguh padat.Perlu kekuatan dan kesabaran sepenuh masa.Perlu tenang dan profesional.Merancang dengan kesungguhan sambil bertawakal pada Allah.

Tidak dinafikan,perasaan gentar turut ada untuk menghadapi kehidupan ini.Cepat saya menyedarkan diri bahawa setiap ketakutan mesti diatasi untuk mencapai kejayaan.Ini lumrah sebuah kehidupan.Apa yang diharapkan,supaya diri ini sentiasa mujahadah mencari keredaanNya.

Bukan mudah menjadi hamba Allah yang bertaqwa.Juga bukan mudah mempertahankan ketaqwaan.Koreksi diri,tanya iman,pasti temui jawapan.

~Secoret Tinta,Seluas Kasih~

10.54 malam
28 Muharram 1432
Rumah Warden Asrama Puteri.

Friday, December 10, 2010

Muqaddimah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

'Nota Kasih Buat Ummah' merupakan sebuah blog yang bakal mencoretkan pelbagai kisah dan pengalaman yang diharap dapat dikongsi bersama sahabat alam maya.Semoga 'Nota Kasih' ini dapat memberi sentuhan positif 'Buat Ummah'.

InsyaAllah.

~Secoret tinta,seluas kasih~